Bukankah Joseph Conrad Pernah Berkata Bahawa Kita Hidup Sepertimana KitaBermimpi, Yakni Bersendiri?

Berikut adalah esei/ulasan yang saya tulis untuk Jalan Telawi, 2018.

1

Terus-terang, situasi tersunyi menyelinap ketika orang sekeliling berbual-bual dalam satu pertemuan tetapi emosi kita tidak sepasukan. Kemudian kita cuba ukir satu kuntum senyuman dan sebaris tawa untuk memalsu keresahan. Bahawa sebenarnya, kita terlalu sunyi dan lebih menyakitkan hati, tidak tahu pula apa sebabnya setelah semua panduan yang ditulis dalam buku-buku dan peringatan yang berdengung dari siniar manusia serba tahu sudah habis kita cuba. Mungkinkah kesunyian adalah kawan karib sehidup semati? Kita pun menjadi pakar senyum-ketawa sehingga sesi temu tamat, sepuluh minit selepas kita ucap bye, nanti jumpa lagi ya, langsung digigit kesunyian yang mengaum seperti singa lapar. Begitulah seterusnya sehingga diurai malam yang sejuk dan panjang.

Saya kembali ke George Town setelah lebih dua bulan berada di kampung – kakak saya yang berperang dengan barah payudara ditunduk kenyataan. Saya tiba di kampung tergocoh-gocoh lihat Kak Long dalam kecantikan: balutan putih dan kain batik lepas; usung keranda dan laungan talkin; wajah sugul dan majlis tahlil; lidah yang tak mampu rasa apa-apa dan mata yang tak kenal erti kantuk – semuanya menjemput segala macam emosi tetapi yang tersial tentulah semua emosi itu datang serentak dan melanggar saya seperti sebuah keretapi. Saya kembali sebagai seorang perajurit yang luka dan sesal, menyapu debu-debu bilik terutama di bilah kipas, mengganti cadar serta selimut sebelum berbaring meringkuk dalam posisi fetus dan menangis teresak-esak mahukan sesuatu yang saya tidak tahu.   

Dua hari selepas itu saya di kedai buku meraba bakul-bakul berisi naskah terpakai dan menjumpai Olivia Laing – ia buku kulit keras bersaiz sedap-pegang dan saya tidak kenal pun beliau sebelum ini, lagi pula masih belum ada asa untuk baca apa-apa. Tetapi judulnya serasa mengena – The Lonely City, jadi saya terus bayar dan ke kedai kopi kegemaran untuk menyelak lebih lanjut – membaca perihal kesunyian tentulah mempertemu saya dengan sifir sunyi ganda dua tetapi setidaknya, ada orang yang faham tentang keadaan saya (walaupun orang itu hanyalah susunan unik 26 huruf dalam 310 halaman). Seni sunyi dan kesunyian saya telah tatap sebelum ini – Edward Hopper contohnya, tetapi tidak pula saya khusyuk menelaah sehinggalah saya sendiri yang berasa sebegitu lalu terus bersungguh nak cari titik persamaan dengan mereka. Semua orang tidak patut menangis sendirian.

“Apakah rasanya kesunyian?”

“Ia seperti rasa lapar: kamu kelaparan sedangkan orang sekeliling sudah siap siaga berjamuan”

Begitu Laing menulis, disamping meranting emosi yang datang dalam kesunyian – ia rasa sedih dan sedikit malu, seolah-olah kita berasa kalah dengan sesuatu. Ia bukan pencapaian, apalagi untuk diberitahu orang ramai. Laing melakukan apa yang difikirkan betul atau yang diajar orang lain luar sedar – menonton klip-klip di laman YouTube, mengetik pautan-pautan sensasi di internet untuk membunuh masa dan cuba kembara jauh dari 4 dinding batu yang mengelilingi – kesemuanya gagal. Malah, dia rasa lebih sunyi dan terasing. Ia bukanlah sesuatu yang romantis, kecuali jika kita menginginkan itu. Ketika sunyi mengetuk pintu kota New York, Laing menemui sesuatu – seni catan – dan menjumpai sedikit keselesaan dalam melihat karya-karya pencatan tentang manusia dan perasaan (ia menginatkan saya tentang tulisan Julian Bell dalam buku Mirror of The World: A New History of Art – yang bercerita bahawa manusia suka mencipta sesuatu yang ‘cantik’ untuk dipertonton. Dan dengan objek itu, kita menarik perhatian dan juga perasaan). Bagi Laing, seni adalah eliksir kerana ia mengerti apa rasanya dicampak sunyi, ketakutan dan berada di bandar penting-diri yang tidak langsung peduli sama ada kamu akan datang, pergi, hidup ataupun mati. Sejak itu, dia menggemari Edward Hopper, Andy Warhol, Henry Darger dan David Wojnarowicz. Saya tidak kenal siapa David tetapi Edward Hopper adalah jurulatih saya. Kalau saya lihat catan dia lama-lama saya akan jadi seorang ninja yang menyelit dalam kafe tergambar di Nighthawks.

Jika usaha menjadi ninja gagal, saya ke taman Armenian berhampiran tempat saya tinggal. Berbual dengan kawan-kawan dan melihat hijau sebelum menikmati makan malam, ada seorang saya yang semakin jauh dari saya, dan saya teragak-agak untuk bertanya khabar kerana dia seorang yang menyedihkan, sunyi, rindu, dan selalu sahaja bersembunyi jauh dalam lantai hati. Tertimbul hanya untuk menangis.

2

Kehidupan tidak berlaku kepada kita; kehidupan berlaku untuk kita.

3

Olivia menulis tentang kesunyian seperti ia sebuah tempat sebelum menjadi benda hidup. Dalam naskah ini dia membezakan keadaan bersendiri dan sunyi – ada yang langsung tidak sunyi ketika bersendiri, tetapi berjuta masih sunyi walau letak duduknya di kalangan kekasih, keluarga atau kawan-kawan. Malah lantai marmar di rumah agam tidak mampu berbual apalagi merawat rasa sunyi. Lalu Laing menulis, “kesunyian terasa seperti sesuatu yang memalukan, ia bertentangan dengan sebagaima perlu kita jalani hidup; sesuatu yang tidak boleh diterima, berkeadaan taboo dimana pengakuan akan membawa manusia sekeliling menghakimi sebelum melarikan diri”. Kesunyian kalau diakui, takut distigma lantas menjadi lebih sunyi. Kalau dinafi, barangkali berkudis.

Apakah maknanya kesunyian? Dan apakah fungsi kesunyian dalam hidup sehingga menjadi antara unit besar dalam pertukangan seni? Di syarah atas talian saya mendengar pakar-pakar berbicara tentang kesunyian dan kesannya kepada kesihatan seolah menghisap 15 batang rokok setiap hari. Ia mempercepat penuaan, menggalakkan insomnia dan melemahkan sistem imun badan. Laing menulis, bahawa kesunyian adalah satu kitar yang membiak – orang yang menderita kesunyian mengalami satu perasaan malu atau terhina, makna kata orang-orang yang sunyi sudah tidak pandai bergaul dalam interaksi sosial, dan kegagalan itu akan membuatkan mereka lebih sunyi ganda dua dan seterusnya. Dan lebih menyedihkan beliau menulis, barangkali ubat kepada sakit sunyi hanyalah imaginasi. Saya fikir ia sudah tentu sebiji pil yang aneh, apalagi untuk ditelan setiap hari. Mana mungkin kecederaan realiti boleh dipulih menggunakan imaginasi? Atau sayakah yang memang salah dalam hal ini?

Laing lancar menulis tentang tukang seni yang dirundung sunyi. Saya yang penting diri tentu sahaja beromantis dengan kesunyian mereka (atau kadangkala saya ameliorate ia) – saya kata baguslah juga tentang sunyi ini; malapetaka akan selalu memberanakkan sesuatu yang indah (alam ini umpamanya) tetapi bagaimanakah mereka bergocoh dengan sunyi setiap hari? Ia seperti Andy Warhol pada tahun 1965 yang merakam pita suara yang mempercantik kesunyiannya dan menggelarkan ia ‘my wife’.

Tetapi kekuatan terbesar naskah The Lonely City adalah cara Laing menyusun fragmen tema dan penceritaan beliau – ia dirangka dari imbasan patah hari, rasa menyendiri dan sunyi serta rasa terpisah dari gerombolan dunia luar. Ia simbolik sebenarnya – gaya tulisan dan bagaimana Laing membina-cantum fragmen pemikiran, perasaan dan pengalaman seolah satu homaj kepada ‘institusi sunyi’ bahawa sesuatu yang baru boleh terbina daripada sisa pecahan yang lama. Ketika berperang dengan perasaan, Laing menyusun kembali perasaan itu menjadi senjata, dan peperangan dapat dilihat ketika dia memperkait dan menaskahkan kisah artisan lain yang mengalami kesunyian seolah membina sebuah kenyataan yang kita semakin tahu, bahawa semua manusia sejujurnya adalah kumpulan makhluk yang sunyi. Mengakuinya adalah satu kekuatan yang memerlukan kekuatan. Laing menulis lagi, “Kadang-kadang, apa yang kita perlukan adalah kebenaran untuk merasa. Apa yang menyakitkan sebenarnya adalah percubaan kita untuk menghalang perasaan itu, seolah ia akan merayap seperti akar beduri lantas menghinakan”.

4

Menyelak The Lonely City tidak semudah diduga – ia seperti mengoyak luka diri sendiri sambil berharap akan ada keindahan aneh tertimbul dari dalamnya. Ia bermula dengan pengalaman Laing bersendiri di kota New York setelah cinta mematahkan hatinya. Saya kira perkaitan kesunyian dan usaha Laing untuk menceritakan perihal beberapa artis yang juga sunyi adalah sekadar percubaan juvenil untuk membina sebuah echo chamber. Ia berkesan, tentunya. Di bab terakhir, Laing menulis dengan penuh penerimaan, bahawa “ada banyak benda yang tidak mampu dilakukan oleh seni, kecuali menjadi ubat.” Dengan kelembutan bahasa dan cara kerjanya menyusun fragmen dalam The Lonely City, ia naskah yang sungguh manis untuk dibaca. Kedengaran klise itu pasti, tetapi memahami perasaan manusia, atau diri sendiri, adalah kerja terpayah yang mengambil masa selama usia. Sebelum akhirnya kita ditanya beliau, “apakah yang malunya tentang menginginkan sesuatu?”

Di akhir catatan, Laing berkata bahawa kesunyian tidak lagi satu isu personal tetapi politikal. Ia adalah sebuah bandaraya, dan sebagaimana kita ingin tinggal dalam bandaraya itu, ah, tidak ada peraturan dan malu, kerana kita mendepani hal kesunyian ini bersama-sama. Yang terpenting tentulah kebaikan, Laing menyambung lagi, kerana perasaan selalu mempunyai usia yang pendek.

Saya menamatkan bacaan tiga hari selepas itu, meneguk segelas sunyi dan langsung ke jalanan di gelap malam; pelan asal sudah tidak mahu pulang. Di Love Lane saya bergesel bahu dengan pelancong yang mabuk dan bergembira di luar deretan bar. Mereka bernyanyi-nyanyi sambil berpelukan. Kemudian, bertepuk tangan.

“O kota sunyi, bagaimanakah kami esok hari?” Saya tanya diri sendiri.

Pelabuhan Akhir (2021) Fahmi Mustaffa | Acrylic on Canvas | Private collection

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s